25-1-17

12:35 PM

Reitaku University Rose Garden, Kashiwa

25 hari dalam tahun 2017.
Masih sihat, masih punya ahli keluarga yang cukup bilangan, 
masih dikelilingi sahabat soleh solehah,
Alhamdulillah.

Beberapa hari sebelum 2016 melabuhkan tirai, 
Aku mengimpikan 2017 bakal menjadi tahun produktif dan bermanfaat pada orang lain.
Justeru, aku tidak meletakkan apa-apa azam tahun baru.
Aku fikir lebih baik sekiranya aku meletakkan azam berbeza untuk setiap hari yang baru.
Arasnya mungkin lebih mudah untuk dicapai,
Sekali sekala gagal, atau mungkin berlanjutan ke 2-3 minggu culas,
Namun esoknya, aku boleh bangkit kembali 
dan mula lagi sekali.

Kini, lagi 5 hari sebelum Februari.
Mutabaah amal yang ku buat tiba-tiba sepi.
Khusyu' solat fardhu mula goyah lalu merosakkan mood berhari-hari,
Diri kembali sukar bernafas dalam kelemasan taghut.
Jasad di kelas namun minda di awan
Bila berjanji lambat dikota, 
Bila bertemu, lambat tiba.

Dalam kelas Mr. Chris, 
Kami disuruh menulis satu patah perkataan untuk melambangkan tahun lalu,
dan beberapa resolusi tahun baru.
lama aku termenung, tiada apa terlintas melainkan perkataan depresi,
Aduhai penyakit, janganlah kau muncul lagi.
Sudah banyak aku habiskan wang merantau sana sini.
Bergelas-gelas kopi dibeli untuk manjakan diri.

Sayap patah dek ujian masa lalu,
perlahan lahan aku cantumkan,
patah kembali, aku pungut lagi dan sambungkan.
luka-luka yang koyak perlu segera dijahit,
walau tersenggut senggut menahan hiba yang terpendam.
biarlah air mata yang jatuh,
hanya berserta kalimah tuhan.

2017, walaupun sudah hampir sebulan
aku masih mahu perbaiki dan kuat kembali
tiada apa yang boleh ku ubah
melainkan sikap diri sendiri
tiada apa yang boleh ku tahan
melainkan nafsu yang membesar dalam diri.

Syurga itu,
hanya boleh dimiliki dengan melawan kebatilan.
bila solat bertembung dengan duniawi, kau ingat lah Allah itu Maha Melihat.
bila kemalasan melanda, bangkitlah dan bayangkan syurga, sebaik baik motivasi kehidupan.
bila teruji dengan maksiat, tahanlah diri dan bayangkan neraka, sebaik-baik peringatan.
bila nafsu memuncak, kau tawanlah dengan puasa dan istighfar.
bila berbuat dosa, kau ingatlah mati itu pasti maka segerakanlah pohon keampunan Allah dan manusia.

Melakukan kejahatan itu mudah.
Maka bersiap sedialah dengan akibatnya.
dan kesengsaraan yang tidak pantas untuk dihadapi selamanya.
Melaksanakan kebaikan itu payah.
Namun, itulah dambaan para Syahid
Kalau tidak masakan mereka rela menginfakkan diri demi agama.
kalau bukan bayarannya Syurga.
itulah, pilihan sebijak bijak manusia,

Ya Allah, Aku mohon.
Berilah peluang padaku lagi
Untuk mengasihi Mu,
dengan solat yang khusyu dan ibadah yang ikhlas,
Untuk melepaskan diri dari murka Mu,
dengan meninggalkan setiap bentuk larangan.

Memang sukar sungguh hidup ini,
melewati ujian ujian kecil kehidupan yang tidak bertepi.
bagaimana mahu membalas budi mak ayah yang kau pinjamkan mungkin cuma sementara waktu sahaja lagi.
bagaimana ingin kuat dalam menangisi kebodohan dalam setiap peperiksaan di universiti.

Namun sukar lagi, andai hati ini Kau biar berterusan mati.
Gelap, hilang dalam kepekatan noda hitam
Melupakan diriMu adalah sebesar-besar bala.
Hilang keinginan mahu beribadah adalah sesedih sedih perkara

Allah, aku redha dengan segala kelemahan yang aku miliki,
Biarlah tiada hebatnya setanding orang lain pun.
Tidak mengapalah aku pendek buruk rupa sekalipun.
Asalkan aku,
Asalkan aku sentiasa termasuk dalam golongan yang Kau kasihi,
Yang Kau kasihan belas, Yang kau jauhkan dari siksaan kubur dan panasnya Mahsyar.
Yang Kau jauhkan aku dari melakukan dosa-dosa ke Jahannam..

Astaghfirullah al Adzim wa Atubu Ilaih




Kashiwa, bersama 10 Assignments dan 3 Papers.

You Might Also Like

0 comments