memoir

Iman dan Islam

10:54 AM

Kaede Building, Reitaku University, Kashiwa

"Alhamdulillah, sama-sama kita merafa'kan setinggi tinggi kesyukuran kepada Allah swt atas dua nikmat paling besar dalam hidup ini, iaitu nikmat iman dan islam.. Alhamdulillah"

"Alhamdulillah..." Bergema dewan solat Masjid al Qadisiyyah dengan tahmid serentak dari ratusan pelajar yang sudah mula duduk merapat rapatkan diri antara satu sama lain, menginjak ke bahagian depan menandakan bersedia untuk mendengar kuliah 5 minit dari setiap wakil tingkatan, meneruskan tradisi pelajar Sbpi Rawang usai menunaikan solat Maghrib sebelum ke kelas prep. Beberapa pelajar senior mula merapatkan diri ke dinding mencari port selesa untuk memejamkan mata, ada yang berkumpul di bawah kipas bagi memulakan sesi urut bahu tidak berbayar.

Kalau bukan kuliah 5 minit, pelajar muslimin dari Badar akan melaksanakan forum yang selalunya tidak kering gusi mendengar telatah ahli panel ketika menyampaikan tazkirah. Paling kurang, lampu akan dipadam selain lampu tengah masjid untuk tayangan media sekiranya terdapat video klip terbaru yang di download, seperti klip salafussoleh dan pergolakan Palestin. Zaman-zaman tiada wifi!

Muslimat serentak mengeluarkan buku tazkirah dari beg telekung masing-masing, lengkap dengan pen bewarna warni untuk memeriahkan nota yang dicatit. Ketawa kecil sesekali kedengaran apabila melihat sahabat sebelah tersungkur tidur menekur akibat kepenatan dengan jadual pelajar asrama yang padat. Paling mengerikan, mangsa mangsa kepenatan ini diserang pula cramp kaki yang sangat ngilu dan memalukan.. hahaha ^^ begitulah, antara satu dalam 1001 kenangan.

***

'Beep' 

Mata sekilas memandang ke arah skrin telefon sambil tangan masih laju mencatat lambakan penerangan dari Prof Andrew. Tanpa kedengaran merdu azan, deringan sebentar tadi menandakan waktu maghrib telah masuk dan bakal berakhir pada pukul 6 petang, iaitu sebelum waktu kelas tamat. Matahari mula terbenam seawal 4.30  petang, menandakan musim sejuk mula menjengah kerana waktu siangnya yang pendek.

Melihat Prof yang belum lagi menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti mengulas buku Japanese Society tulisan Chie Nakane, ahli antropologi terkenal di Jepun, aku cuma mampu pasrah dan meminta diri ke tandas untuk mengambil wudhu' dan menjalankan tanggungjawab seorang hamba kepada Tuhannya. Mathurat bersama sahabat diganti dengan mathurat ketika berjalan kaki pulang ke rumah, itupun kalau buat. Bacaan Quran sejurus selepas solat diganti dengan bacaan secara perlahan dalam bas dan train. Solat sunat dhuha dan rawatib yang dahulunya sebati dengan diri,  kini hanya buat apabila teringat. Deringan telefon bimbit menjadi sahabat setia mengingatkan waktu solat dan ibadah sunat. Bacaan Quran dari corong masjid diganti dengan mp3. Youtube menjadi sandaran untuk mengisi kekosongan jiwa, malah sebenarnya makin mengosongkan jiwa kerana aplikasi tersebut lebih kerap digunakan untuk mendengar lagu keduniaan dan rancangan-rancangan tidak berfaedah bercampur  dengan maksiat. Namun begitu, Alhamdulillah, 4 tahun di Jepun, Allah menjagaku dengan usrah skype walaupun bersama adik beradik usrah yang tinggal berlainan pulau!

***
Tidak dinafikan, bila suasana memudahkan kita beribadah, terasa betapa seronoknya masa yang banyak diluang dengan Allah. Tapi bila suasana menjadi sukar, kualiti masa yang sedikit itu pula yang menjadikan ibadah terasa manis dan bermakna. Disitulah prioriti iman dan islam teruji, dan hanya tika itu lafaz "alhamdulillah" seolah-olah mampu meleraikan segala resah dan sesak dada.

Alhamdulillah, dalam kesibukan tidak bertepi, tenggelam dalam urusan dunia yang tak berkesudahan.. hingga saat ini aku masih diizinkan menikmati iman dan islam.

Alhamdulillah,
wa lillahilhamd.