Kelopak Satu

9:37 PM

Rose Garden, Reitaku University, Kashiwa

"Tangkap dia, kalau jumpa humbankan dia ke dalam sungai!"

Hingar bingar rusuhan orang ramai memecah keheningan subuh Kampung Merpati. Masing-masing membawa puntung kayu yang dinyalakan api dihujungnya. Mereka meredah semak dan belukar, mengharung sungai. Sebahagian daripada mereka mengetuk pintu setiap rumah di kampung itu untuk mencari seorang anak gadis malang, bernama Cempaka Sari.

"Ada apa riuh-riuh itu mak" Sambil terpisat-pisat bangun dari lena, Cempaka mencari ibunya di dapur.

"Tiada apa-apa Sari, pergilah kau tunaikan solatmu dulu, nak" Ujar ibunya lembut, bersama riak tenang wajah yang sedang dibuat-buat.

Cempaka tidak sedap hati, mulut menutur zikir sambil menuruni anak tangga di luar rumah, lalu mencedok air dari tempayan untuk dibuat air wudhu. Usai solat subuh, terdengar suara memberi salam di luar rumah minta dibukakan pintu. Peluh merecik di dahi Cempaka. Siapa pula subuh-subuh datang ke rumah. Pintu dikuak perlahan.

"Allahuakbar, bapak rupanya."

Kerana terlalu gelisah, terlupa dia pada bapanya yang melazimi subuh berjemaah di masjid  Bapanya baru pulang dari masjid tapi hari ini tampaknya lebih awal dari kebiasaan.

"Cempaka, segeralah kau siapkan persalinan barangkali untuk dua tiga hari perjalanan. Kita harus lekas keluar dari kampung ini", pesan bapa dengan suara sedikit mengah.

Ibunya datang dari belakang dengan dua mangkuk tingkat. Barangkali sebagai bekal perjalanan.

"Lekaslah kau bersiap nak, hari sudah singkat. Kita kena cepat." ujar ibu, sudah hilang tenang dalam nada suaranya.

Cempaka akur tanpa jawapan lalu segera ke kamar tidur. Dia membentangkan kain batik di atas lantai lalu mula menyusun helaian baju dan barang-barang keperluan di atasnya. Sesudah itu dia menyimpul ikatan kain kemas-kemas lalu disandangkan dibahu. Rambut diikat sanggul, dua tiga juntai rambut diselit ke belakang telinga lalu dia menyarung kerudung di kepala. Dia berlari anak menuju bapa dan ibu yang sudah menunggu di bawah rumah.

Selesai menutup pintu depan, Pak Salak segera menyalakan dua puntung kayu untuk dibuat obor. Satu diserahkan kepada isterinya. Kedengaran sayup-sayup dari jauh suara orang berteriak menjerit nama Cempaka.

"Lekas, kita lari ke arah sungai. Sudah aku siapkan sampan" Pak Salak mengerahkan isteri dan anak yang dikasihi pergi dahulu.

"Hah, itupun mereka! Kejar!" Gerombolan orang kampung dapat melihat dari jauh 3 beranak yang sedang ketakutan itu. Mereka berlari dengan langkah besar-besar untuk menghalang keluarga tersebut daripada melarikan diri.

Pak Salak sudah memikirkan idea untuk menyelamatkan diri. Sengaja dia berpisah dengan isteri dan anaknya untuk mengelirukan orang kampung. Hasilnya, dua kumpulan terpecah, satu mengikut cahaya api dari obor Pak Salak. Satu lagi mengejar cahaya dari obor yang dipegang ibu Cempaka.

Namun takdir tuhan, perancangan Pak Salak tidak menjadi. Setibanya Cempaka bersama ibu di tebing sungai, asap sudah berkepul memenuhi ruang udara. Sampan yang sepatutnya dinaiki telah hangus dibakar orang kampung yang berang.

"Allahuakbar, dugaan kita. Suratan kita. Innalillahi wa inna ilaihirojiun " Mak Som menggenggam tangan anaknya erat-erat.


***

bersambung

(Kelopak Cempaka di dahan Sakura)
klik: <3 Teaser <3







You Might Also Like

2 comments

  1. Apa jadiiii cemasnyaaa ๐Ÿ˜ฑ๐Ÿ˜ฑ๐Ÿ˜ฑ

    ReplyDelete
  2. Sampai hati akak stop kat klimaks! Hahahahah but atarimae la kan sbg writer ���� boleh la akak start tulis next chapter sambil duduk dalam bas tgk pemandangan cari inspirasi~ ��

    ReplyDelete